11 Benda Tidak Logik Yang Pernah Terjual Di Internet

Jika anda fikir trend membeli barangan dapur secara online sudah cukup pelik, mungkin tidak selepas anda membaca artikel ini. Hakikatnya, terdapat berbagai lagi jenis barangan pelik yang turut dijual menerusi laman web. Sampai ada yang tak tercapai dek fikiran pun. Kami kongsikan anda senarai tersebut.

11. Kentut Unicorn / Kentut orang

Sekali dengar memang sangat jijik dan kotor kan? Itulah hakikatnya. Antara barangan pelik yang berjaya dijual di internet ini adalah kentut! Yang hairannya ada pula orang yang membeli produk ini walaupun kita sendiri sudah terasa kebodohan yang melampau-lampau

Produk ini anda boleh dapatkan di laman ebay bahkan di Lazada juga ada dijual. Anda boleh buat carian “fart” di Lazada. Sekiranya anda telah membeli produk ini, jangan lupa tinggalkan testimoni kepada kami melalui inbox laman sosial iluminasi ya.

10. Kuku tangan pembunuh bersiri

Bukan saja artis, pembunuh juga mempunyai peminat setia mereka sendiri. Kumpulan individu pelik ini begitu obses dengan pembunuh bersiri terkenal. Mereka sering menulis surat kepada ‘bintang pujaan’ mereka ini dan menjadikan mereka sebagai idola.

Antaranya ialah pembunuh bersiri, Roy Norris. Dia kini menjalani hukuman penjara seumur hidup di California atas kesalahan menculik, memperkosa dan membunuh lima gadis remaja pada tahun 1970an, bersama rakan jenayahnya, Lawrence Bittaker.

Berikutan itu, Norris memulakan sebuah perniagaan dengan menjual keratan kuku tangannya sendiri di eBay, berharga $10 setiap satu.

9. Replika lemak badan manusia

Menurut kajian, lebih daripada 35% orang dewasa Amerika merupakan penghidap obesiti. Maka, tips dan produk menurunkan berat badan yang dijual secara online mendapat sambutan hangat.

Memperkenalkan, replika 500g lemak badan manusia, dengan kos $23 di Amazon. Ia dijadikan sebagai sumber motivasi atau peringatan kepada pemiliknya akan bahaya gaya hidup yang tidak sihat.

Seorang pengulas menyatakan, ia diletakkan di depan peti sejuk, di tepi pinggan, dan dibawa bersama ke restoran untuk mendorong mereka mengamalkan pemakanan sihat.

8. Kawan khayalan

Pada tahun 2007, seorang pengguna eBay ‘thewildandcrazyoli’ melancarkan lelongan online yang menjual komoditi aneh, iaitu kawan khayalan sewaktu zaman kanak-kanaknya.

Menurut penjual itu yang berusia 27 tahun, kawan khayalannya, dipanggil Jon Malipieman, telah membesar dengan lebih cepat.

Dia menggambarkan Jon sebagai ‘sangat mesra’ dan menawarkan untuk menghantar senarai perkara kesukaan dan tidak disukainya, serta foto dirinya kepada pembida yang berjaya. Selepas 31 bidaan, Jon dijual dengan harga $3,000.

7. Pelangsing wajah

Amazon menawarkan banyak produk kecantikan yang direka untuk membuat anda sentiasa kekal awet muda. Antaranya ialah Bigan Beauty Face Expander, yang didakwa mampu melangsingkan wajah apabila digunakan selama hanya 3 minit sehari.

Pengguna meletakkan getah pelangsing wajah ini ke dalam mulut dan membuat pelbagai bunyi vokal, sebagai suatu bentuk senaman terhadap otot wajah mereka.

Ia didakwa berkesan pada pipi, dagu dan bahagian lain pada wajah yang kendur seiring dengan peningkatan usia. Kos produk ini kira-kira $5 dan sangat popular di Asia.

6. Najis binatang

Bagi masyarakat barat, internet menjadi platform untuk mereka membalas dendam kepada musuh. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, timbul beberapa laman web yang menawarkan khidmat menghantar e-mel berbentuk najis binatang.

Ia juga dijadikan sebagai prank kepada rakan-rakan, tanpa mendedahkan identiti pengirimnya. Najis lembu, gajah dan gorila dijual untuk dihantar ke pintu rumah mangsa, melalui laman web seperti poopsenders.com atau shitexpress.com.

5. Tanah di bulan

Jangan terkejut jika dikatakan anda kini berpeluang membeli tanah di bulan. Dengan harga serendah $32, anda boleh membeli 4,000 meter persegi tanah di bulan menerusi pelbagai laman web seperti lunaregistry.com.

Malah, anda juga akan menerima sijil, gambar satelit dan maklumat geografi untuk membantu anda mengesan tanah yang dibeli menggunakan teleskop.

Namun, undang-undang dan hak untuk menjual tanah di bulan adalah tidak jelas. Berkemungkinan juga, produk ini adalah lebih kepada sebuah gimik berbanding sebuah pelaburan yang sah di sisi undang-undang.

4. Kanabis untuk haiwan peliharaan

Perubatan ganja kini sah di sebanyak 24 negeri Amerika Syarikat. Hasilnya, pasaran online untuk dadah itu sedang berkembang. Dan ia bukan hanya digunakan oleh manusia, apa yang dipanggil sebagai ‘Pot for Pets’ menjadi semakin popular. Dijual dalam bentuk kapsul dan biskut, anda boleh membeli secara online sebuah beg mengandungi 40 biji, dijual dengan harga $22.

Setiap kapsul mengandungi 1 miligram kanabis, iaitu dos disyorkan untuk haiwan seberat 9 kilogram. Ubat ini direka untuk warga tua dan haiwan peliharaan sebagai ubat penahan sakit dan anti radang.

3. Hak untuk menamakan bayi perempuan

Seorang wanita, Melissa Heuschkel melahirkan anak keempatnya secara normal pada tahun 2005. Apa yang luar biasa, dia melihat peluang itu untuk mengusahakan perniagaan yang menguntungkan. Dia menjual hak untuk menamakan anak perempuannya itu di eBay, dengan tawaran harga $15,100.

Hak itu telah dibeli oleh kasino online, goldenpalace.com, dengan memberikan nama ‘Golden Palace Benedetto’, atau nama singkatan ‘Goldie’. Kasino itu juga pernah membayar $4,550 kepada seorang lelaki, untuk mencacah tatu nama laman web mereka di bahagian perutnya.

2. Tengkorak manusia

Laman web skullsunlimited.com merupakan pembekal spesimen osteologi yang terkemuka di dunia. Mereka menjual pelbagai tulang binatang, termasuk bahagian tubuh manusia yang menyeramkan. Ia dijual untuk tujuan tertentu seperti pendidikan, alatan teater dan koleksi peribadi.

Rata-rata tengkorak manusia di laman web ini dijual dengan kos sekitar $1,500, manakala rangka keseluruhan pula dianggarkan berharga $4,800. Namun, anda tak perlu risau kerana semua tulang yang dijual telah diperoleh secara sah dan beretika.

1. Uranium

Uranium, unsur radioaktif yang digunakan dalam reaktor nuklear kini boleh didapati di Amazon, dengan harga $3995. Namun, keterangan produk ini menyebut ia hanya boleh digunakan untuk tujuan pendidikan dan saintifik, seperti menguji pembilang Geiger.

Tetapi, ianya masih membimbangkan kerana pengguna tidak memerlukan lesen untuk membelinya. Sampel boleh didapati di Amazon kerana kandungan radioaktifnya adalah sangat sedikit dan selamat untuk dikendalikan. Walaubagaimanapun, apabila ia hancur menjadi serbuk, adalah sangat berbahaya untuk anda menghidunya.